SETIAP AHLI KELUARGA MEMAINKAN PERANAN PENTING KE ARAH
MELAHIRKAN GAYA HIDUP SIHAT.
JELASKAN
PERANAN IBU BAPA DALAM USAHA MEMUPUK AMALAN GAYA HIDUP SIHAT.
Amalan gaya hidup sihat adalah cara hidup yang boleh mengurangkan pelbagai
risiko penyakit pada masa hadapan. Namun demikian, ribuan rakyat Malaysia
mempunyai berat badan berlebihan, tidak aktif dan terlalu banyak menghisap
rokok. Ribuan rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup yang tidak sihat sejak kecil
lagi seperti menggemari makanan yang mengandungi kolesterol, tidak melakukan
senaman dan makan secara berlebihan. Oleh itu, untuk mengurangkan risiko
obesiti serta penyakit berbahaya seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing
manis dan sebagainya, rakyat Malaysia perlulah mengamalkan gaya hidup sihat.
Secara umumnya, tanggungjawab ini sudah semestinya jatuh pada bahu ibu bapa
yang melahirkan anak-anak serta menjaga mereka sejak kecil lagi. Persoalannya,
apakah peranan ibu bapa dan keluarga untuk memupuk amalan gaya hidup sihat
dalam kalangan anak-anak mereka?
Sudah terang lagi bersuluh peri pentingnya peranan ibu bapa dalam memupuk
amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Peranan utama ibu bapa dalam
memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka adalah
dengan memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan yang seimbang. Pemakanan
yang seimbang bermaksud pemakanan yang mengandungi ketujuh-tujuh kelas makanan
dalam kadar yang bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin, mineral,
lemak, air serta serat. Ibu bapa perlulah sentiasa menghidangkan makanan yang
berzat serta bernutrien kepada anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga digalakkan
untuk makan di rumah kerana makanan di luar, khususnya gerai-gerai makanan di
sepanjang jalan yang makanannya biasa digoreng dengan penuh minyak. Jika tabiat
yang baik ditanam dalam diri anak-anak, sudah pasti anak-anak akan tahu menjaga
pemakanan mereka apabila dewasa kelak. Ibu bapa juga perlu mengurangkan
pengambilan minuman berkarbonat oleh anak-anak kerana minuman sebegini tidak
memberikan apa-apa kebaikan dan mengandungi kandungan gula yang berlebihan.
Anak-anak perlulah diajar untuk minum air kosong atau jus buah-buahan yang
asli. Jelasnya, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan
seimbang dalam memupuk amalan gaya hidup sihat.
Selain itu, ibu
bapa juga boleh melakukan aktiviti bersenam dan beriadah bersama
anak-anak. Perbuatan ini bukan sahaja akan menyihatkan badan, malah hubungan
antara ibu bapa dengan anak-anak akan menjadi lebih erat. Aktiviti bersenam
mampu mengekalkan gaya hidup sihat kerana peluh-peluh yang keluar sewaktu
melakukan senaman akan keluar bersama-sama toksin badan. Kesannya, anak-anak
mampu membina tahap imunisasi yang tinggi terhadap serangan penyakit. Aktiviti
senaman perlulah dilakukan sekurang-kurangnya 20 minit sehari dan tiga kali
seminggu. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah senamrobik,
berjoging, berbasikal, berenang serta mendaki bukit. Disebabkan ramai golongan
ibu bapa yang bekerja, senaman ini boleh dilakukan pada awal pagi ataupun pada
waktu petang selepas ibu bapa pulang dari kerja. Apabila seseorang itu bersenam
dan beriadah, mereka dapat meningkatkan kesihatan diri dari aspek fizikal dan
mental bak kata pepatah, badan cergas otak cerdas. Tegasnya, ibu bapa perlulah
melakukan aktiviti senaman dan riadah bersama anak-anak supaya amalan gaya
hidup sihat dapat dipupuk.
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah membawa anak-anak membuat
pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk memupuk amalan gaya hidup
sihat. Ibu bapa digalakkan untuk membawa anak-anak menjalani pemeriksaan
kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali ataupun dua kali setahun.
Pemeriksaan kesihatan adalah penting kerana mampu mengesan sesuatu penyakit
ketika masih di peringkat awal dan memudahkan pesakit menjalani rawatan dengan
teknologi moden kini. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati.
Dengan ini, ibu bapa dapat mengenali tubuh badan anak-anak mereka dengan lebih
baik dan mampu menentukan pilihan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jika ibu
bapa mendapati anak-anak mereka tidak sihat, ibu bapa perlulah segala membawa
mereka berjumpa dengan doktor untuk mendapat ubat serta pengesahan
tentang penyakit yang dihidapi. Bukan itu sahaja, ibu bapa perlulah memastikan
anak-anak mematuhi nasihat doktor dan mengambil ubat pada masa yang ditetapkan.
Jelasnya, pemeriksaan kesihatan secara berkala oleh anak-anak akan memupuk
amalan gaya hidup sihat.
Ibu bapa juga perlu mengajar dan melatih anak-anak mereka
mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan mereka
terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi,
mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan
amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka
juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas
kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan
dengan baik agar tidak dihinggapi lalat mahupun memilih gerai atau tempat
makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa ibu bapa dalam
menitik beratkan aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan
sebegini harus dilentur sejak dari rebung dalam diri anak-anak agar dapat
membentuk gaya hidup yang sihat apabila mereka dewasa kelak.
Pada masa yang sama, selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, ibu
bapa juga seyogia mendidik ahli keluarga mereka agar menjaga
kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan
amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit.
Umpamanya, ibu bapa menggalakkan anak-anak mengadakan gotong-royong di rumah
setiap hujung minggu untuk membersihkan kawasan rumah bersama ahli keluarga.
Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak menyertai kegiatan gotong royong di taman
perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran
mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan
agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya.
Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu
bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar.
Dengan cara demikian, ibu bapa dapat melatih gaya hidup yang positif dalam diri
anak-anak mereka sekali gus akan dapat menjauhkan diri mereka daripada
pelbagai penyakit.
Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu.
Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang
lain didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka
bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan
masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan
efektif. Ibu bapa digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang
mesra bersama-sama anak-anak atau jiran tetangga. Hubungan baik yang
berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan
menggembirakan. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi
bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini Peranan ibu bapa mengamalkan
cara berkomunikasi berkesan dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran
tetangga serta mengamalkan ibadat mengikut agama masing-masing akan
memberi impak psikologi yang positif.
Pada masa yang sama memiliki sikap atau mentaliti positif penting
untuk menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif
menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya
dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama
tekanan di pejabat, kekangan di tempat kerja memerlukan satu persepsi positif
daripada ahli masyarakat kita. Para ibu bapa perlu bijak menghadapi tekanan
hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun
rakan-rakan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami
boleh menjuruskan ibu bapa pada perlakuan negatif seperti mendera,
menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin
positif minda ibu bapa itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang
mampu dicapai oleh dirinya dan keluarga kelak. Penguasaan diri yang baik
dan pesanan yang sering merangsang anak-anak ke arah positif menangani cabaran
merupakan asuhan yang amat dicontohi oleh anak-anak sehingga mereka dewasa.
Tambahan pula, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam anak-anak, ibu bapa
perlulah membawa mereka menziarahi orang sakit sama ada saudara-mara,
jiran tetangga ataupun rakan-rakan. Hari ini kita sihat, tetapi bagaimana pula
dengan hari esok? Jika ibu bapa sering melawat orang yang sedang sakit, nescaya
anak-anak mereka juga akan berbuat demikian kerana bagaimana acuan begitulah
kuihnya. Anak-anak tidak seharusnya merasakan bahawa perbuatan sebegini hanya
membuang masa dan merugikan diri kerana perkara ini adalah sesuatu amalan yang
mulia. Apabila kita menziarahi orang yang sakit, secara tidak langsung
kehadiran kita dapat melahirkan perasaan gembira kepada pesakit dan memberi
kekuatan kepada diri pesakit itu untuk melawan kesakitan yang ditanggung.
Perbuatan menziarahi orang yang sakit akan sedikit sebanyak melahirkan rasa
simpati terhadap nasib orang lain dan pada masa yang sama anak-anak akan
bersyukur atas kurniaan sebuah badan yang sihat. Kehadiran kita menunjukkan
bahawa kita, khususnya anak-anak, mengambil berat tentang diri pesakit dan
dapat mengurangkan perasaan sedih pesakit walaupun pepatah menyatakan bahawa
berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tegasnya, amalan menziarahi
orang yang sakit oleh ibu bapa dan anak-anak mampu menanamkan amalan gaya hidup
yang sihat.
Akhir sekali, bagi menjalani amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan
agar anak-anak mendapat rehat dan tidur yang secukupnya. Tubuh badan anak-anak
juga perlu direhatkan dengan kadar yang diperlukan untuk mengecas semula
organ-organ dalam badan mereka. Bagi anak-anak yang telah mencapai usia remaja,
mereka memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam sehari untuk tidur dengan
selesa. Namun, ramai anak-anak muda pada masa ini yang lebih suka tidur selepas
tengah malam walaupun keesokan merupakan hari persekolahan. Kesannya, mereka
tidak akan berasa cergas dan badan akan lesu dan tidak bermaya. Malahan,
pelajaran anak-anak juga diganggu dan lama-kelamaan prestasi mereka dalam
peperiksaan semakin merosot. Salah satu langkah yang boleh diambil oleh ibu
bapa adalah menetapkan satu masa yang spesifik untuk anak-anak masuk tidur dan
mestilah dipatuhi dengan sepenuhnya. Tegasnya, untuk memupuk amalan gaya hidup
sihat, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat rehat yang secukupnya.
Jika
mendaki menuju ke puncaknya, jika berbicara menuju ke noktahnya. Kemelut yang
bersangkut isu peranan ibu bapa telah dikupas dengan mendalam. Berdasarkan
perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan
yang besar untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak.
Amalan ini adalah penting untuk dilaksanakan agar kesihatan rakyat dalam negara
ini sentiasa dalam keadaan yang baik. Oleh itu, langkah-langkah di atas
perlulah diamalkan oleh anak-anak yang menjadi pemimpin generasi akan datang
bak kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Semua rakyat
Malaysia haruslah mengamalkan gaya hidup sihat supaya penyakit seperti kencing
manis, obesiti, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya dapat dikurangkan
dalam jangka masa yang panjang ini. Dengan kata lain, segala kelemahan
perlu ditangani sebelum padi di sawah menjadi lalang, sebelum ayam di reban
disambar helang. Jelasnya, jika hal-hal yang dinyatakan di atas itu kita
laksanakan, sudah pasti kita memiliki ciri-ciri manusia yang sihat bak kata
pepatah hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.